BERPUASA KUNCI HIDUP SIHAT
Secara etimologinya,
puasa bermaksud menahan. Dalam bahasa arab, orang yang disebut dengan sha’im
iaitu orang yang berpuasa. Namun secara terminologinya, puasa boleh
didefinisikan sebagai menahan sesuatu pada waktu tertentu oleh orang tertentu
dari perkara-perkara spesifik disertai dengan niat. Seperti yang kita ketahui,
bulan Ramadan bakal menjengah tidak lama lagi dan tentunya bakal memberikan
semangat kepada kita untuk meneruskan ibadah. Bulan yang penuh dengan
keberkatan dan keistimewaan ini perlu untuk kita fahami dan ketahui tentang
kelebihan yang diperoleh semasa berpuasa. Berpuasa tidak semestinya dilakukan
pada bulan puasa sahaja, tetapi boleh dilakukan pada bila-bila masa oleh
sesiapa sahaja untuk menjaga kesihatan.
Amalan berpuasa mempunyai
kesan fisiologi dan psikologi secara tidak langsung. Kesan fisiologi ini
termasuklah, merendahkan paras gula dalam darah, kolesterol dan tekanan darah
sistolik. Puasa juga dapat memberi kesan dan kelebihan dari sudut psikologi.
Dengan berpuasa, ianya dapat memberi ketenangan dan kedamaian pada minda,
dipercayai ia berkaitan dengan paras gula dalam darah yang semakin stabil. Psikologi
membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah 2 kecerdasan seseorang. Ujian
dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang
yang tidak berpuasa. Hasil keputusan menunjukkan bahawa orang yang rajin
berpuasa memperolehi skor, markah yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding
dengan orang yang tidak berpuasa. Hal ini dibuktikan ketika perut dan usus melakukan proses
pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan
pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah
apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk
berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas.
Ketika berpuasa,
tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat
bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan
aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan. Ketika
berpuasa, perut akan mengeluarkan bahan-bahan buangan berbahaya yang
disingkirkan melalui proses detoksifikasi. Amalan makan secara berlebihan, diet
yang tidak seimbang dengan kuantiti karbohidrat yang tinggi dan makanan
berlemak, semasa berbuka boleh menyumbang banyak masalah kesihatan. Ini
termasuklah hiperglisemia, pertambahan berat badan dan rasa tidak selesa pada
perut.